Thursday, August 27, 2009

PENDEKAR CAHAYA : NAIK DARJAH

1. Ungkapan “Di masa muda, kita nak merubah dunia, di masa tua, kita nak merubah belia” adalah kata-kata hikmat seorang ahli fikir bangsa Europa.

2. Pada Pendekar Cahaya, kata-kata hikmat ini merujuk kepada peningkatan pemikiran manusia, di mana pada kelazimannya pemikiran seorang remaja adalah kurang matang berbanding dengan pemikiran seorang dewasa.

3. Pada pandangan seorang remaja yang masih di bangku sekolah, nasihat ibu bapa, semuanya membosankan dan karut semata. Tetapi, apabila dia sudah berumahtangga dan menjadi ibu atau bapa, baru lah dia sedar segala kesilapannya terhadap ibu dan bapanya.

4. Demikian juga halnya dalam berpolitik. Pemimpin-pemimpin muda mengkritik pemimpin -pemimpin lama. Bagi mereka ada sahaja yang tidak kena. Walhal, pada hakikat sebenarnya, kalau bukan kerana jasa pemimpin-pemimpin lama, pemimpin-pemimpin muda tidak akan dapat berlagak dan bermega-mega.

5. Dari masa ke semasa mesti berlaku peningkatan cara, pendekatan dan minda pemimpin atau naik darjah. Kegagalan berbuat demikian tentunya akan merugikan suku atau bangsa yang berkenaan.

6. Sebagai contoh, di persada politik negara tercinta, terdapat 6.orang tokoh-tokoh hebat. Mereka pernah berkhidmat untuk rakyat tetapi berlainan pencapaian dan pendapat. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bapa kemerdekaan, Tun Abdul Razak bapa pembangunaan, Tun Hussein Onn bapa kestabilan, Tun Dr. Mahathir bapa pembangunan modern, Tun Abdullah Badawi bapa keterbukaan dan Dato Najib Razak bapa pembaharuan.

7. “Alangkah baiknya kalau pemikiran pihak pembangkang juga naik darjah”, hati Pendekar Cahaya berbisik padanya.

8. Negara Malaysia, terutama sekali Parlimennya, sungguh terhutang budi dan sentiasa mengingati perkhidmatan seorang tokoh pembangkang yang terbilang, sentiasa mengkritik kerajaan tetapi dengan tertib, sopan dan berhemah.

9. Tokoh tersebut diberikan nama jolokan, ‘Mr. Opposition of Malaysia’ (Tuan Pembangkang Malaysia). Dia ialah Dr. Tan Chee Khoon sebuah nama yang akan terukir dalam sejarah politik Malaysia. Kepong adalah kawasan yang diwakilinya dan Parti PEKEMAS adalah wadah perjuangannya.

10. Di atas kewibawaan dan kebijaksanaanya, Kerajaan Persekutuan telah memberikannya pengikhtirafan dan gelaran Tan Sri sebagai pengiktirafan kepada sumbanganya terhadap politik dan negara.

11. “Seorang lagi tokoh pembangkang yang tidak luput dari ingatan kita. Dia mengkritik kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah. Dia juga diberi gelaran Tan Sri oleh pihak kerajaan. Dia ialah Tan Sri Lee Lam Thye, mantan wakil rakyat kawasan Bukit Bintang”. Hati Pendekar Cahaya berkata untuk cuba sentiasa memperingatkan dirinya tentang pendekatan dan perjuangan mereka.

12. “Ya, saya tak akan lupa sebab kami pernah berkerja ‘bersama-sama’ semasa saya berkhidmat di Putrajaya "menjaga" Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.” Jawab Pendekar Cahaya pada dirinya dengan ceria.

13. Pendekar Cahaya tersenyum apabila dia teringat kawasan Parlimen Kepong. Pewaris kawasan Kepong adalah Dr. Tan Seng Giaw dari Parti DAP, anak didik politik dan ada hubungan keluarga dengan Tan Sri Dr. Tan Chee Khoon. Di dalam hatinya berkata, ‘Dr . Tan Seng Giaw beradat orangnya seperti juga dengan mentornya’.

14. Raut wajah Pendekar Cahaya menjadi kelam apabila dia teringat nama-nama kawasan parlimen seperti Puchong, Bukit Gelugor, Padang Serai, Batu Gajah dan Ipoh Timor. Hatinya bertanya dengan nada agak kecewa, “Bagaimana wakil-wakil kawasaan ini meletakkan gelaran ‘Yang Berhormat’ pada diri mereka dengan bangga tetapi mempamerkan keperibadiaan yang jauh berlainan dengan Dr. Tan Chee Khoon dan Dr Tan Seng Giaw. Bila lagikah fikiran mereka ini naik darjah?"

15. Fikiran Pendekar Cahaya melayang lagi dan hinggap di daerah dan tempatnya sendiri. Raut wajahnya kelihatan kadang-kadang tersenyum, kadang-kadang kelam, kadang-kadang perasaan geram menyelinap di hatinya dan kadang-kadang merasa sedih dengan keadaan semasa yang merungsingkan ramai pihak.

16. Bagaimanapun Pendekar Cahaya masih mampu tersenyum dan rasa bersyukur dapat melihat sukunya yang dahulu dianggap sebagi Lanun, tetapi kini dipandang seperti Perwira.

17. Pendekar Cahaya tersenyum kerana gembira melihat rumpun bangsanya, yang tinggal di kampung-kampung berjiran-jiran dan bersebelahan, yang dahulu bersengketa kini bersatu padu dan seia sekata untuk memertabatkan rumpun bangsa.

18. Wajah Pendekar Cahaya kekadang kelam kerana melihat ada anasir luar yang meracuni pemikiran pemimpin-pemimpin muda membenci pemimpin-pemimpin bangsanya sendiri.

19. Kendatipun, Pendekar Cahaya kekadang geram melihat gelagat anak-anak didiknya terkeluar dari garisan peradaban bangsa. Terkadang mereka menunjukkan sikap ketidak tertiban, 'meninggikan' suara di kala 'berhujah' di hadapan orang tua. Walhal, mereka telah dewasa dan berpendidikan tinggi belaka. Pendekar Cahaya bertanya pada diri, ''Apalah yang akan terjadi pada bangsa ku di hari muka, sekiranya bakal-bakal pemimpinnya bersikap angkuh, prejudis dan tidak beretika.?'

20. Pendekar Cahaya terkadang sedih melihat perjalanan yang masih jauh, dan berliku-liku. Dia khuatir, 'jalan yang masih berdebu' yang telah dibinanya, belum sempat dilalui olih pemimpin-pemimpin muda dari sukunya yang berhemah, dirosakkan olih 'matrempit' ala kampung yang rata-rata berfikiran tidak terbuka.

Terkadang terfikir bahawa faktor usia tidak mengizinkannya, tidak dapat menyaksikan kejayaan pemimpin-pemimpin rumpun bangsa untuk dapat duduk di singgahsana kuasa yang sepatutnya miliknya. Kerisauan mencabar kemungkinan mereka akan tercicir atas sebab kesilapan pemimpin-pemimpin bangsa juga sering bermain di kepalanya.

21. Pendekar Cahaya berdoa semoga pemikiran pemimpin-pemimpin sukunya, rumpun bangsanya, di daerah tempat kelahirnya, akan meningkat atau naik darjah demi untuk kepentingan dan kesejahteraan generasi mendatang.

22. AMIN!.

3 comments:

TudungDuang said...

Salam Pa'Min...

Biasalah...Orang muda, pemimpin muda...melihat dari sudut yang berbeza tapi untuk pemimpin-pemimpin muda/pendekar-pendekar tunas kenalah berhemah dalam berhujah!

Wahai pemimpin-pemimpin muda...
kita berpegang pada adat...
"adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali main belakang; adat memegang kekuasaan,jangan sekali merosakbinasakan;adat memegang kebebasan,jangan sekali lupa batasan"...

(merujuk buku tulisan Dr Tenas Afendy..'Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu')....
saya simpulkan jenis2 tokoh pemimpin yang disebutkan, termasuk yang belum 'naik2 darjah'...

6 tokoh Perdana menteri adalah Pemimpin Abadi:

Dijadikan pemimpin besar manfaat
negeri sentosa sempurna umat
orang suka jauh dan dekat
rahmatnya ada dunia akhirat

'Mr. Opposition of Malaysia'adalah pemimpin Bijak:

Menjadi pemimpin ianya bijak
sebarang kerja memakai otak
Tuah ada maruah pun nampak
menjadi teladan orang yang banyak

Puchong,Padang Serai,Bukit Gelugor,Batu Gajah dan Ipoh Timur adalah Pemimpin Dakar:

Janji tak ingat sumpah dilanggar
Petua amanah tidak didengar
cakap temberang bual pun besar
beban tak lepas tugas terlantar

Sebab tu tidak naik2 darjah Pa'Min..

Wassalam...

Senjaliza said...

Read this TS.
http://senjaliza.blogspot.com/2008/07/ipoh-timur-tan-sri-speaker-poin-of.html

BELUM PENDEKAR said...

Salam Pa'Min,

1. Posting Pa'Min mengingatkan saya kepada cerita lama seorang guru semasa saya di perantauan dulu.

2. Begini ceritanya... kononnya pada zaman dahulu kala, ada seorang pemuda yang tinggal disebuah kampung yang amat terpencil. Adapun kegemaran pemuda ini adalah bersabung ayam.

3. Oleh kerana minat yang amat mendalam terhadap sabung ayam ini, maka pemuda tersebut dengan angkuhnya akan mencabar siapa juga dari kampungnya yang beliau tahu ada ayam jantan. Namun, cabaran pemuda ini tidaklah pernah dilayan oleh penduduk kampung. Pada pemikirannya, ayam jantan beliaulah yang paling gagah di kampung tersebut bahkan dia merasakan bahawa ayam jantannya itu boleh mengalahkan mana-mana ayam jantan sekalipun.

4. Pada suatu hari, kononnya pihak pemerintah telah mengadakan pertandingan ayam iaitu dari pertandingan dari segi kokokan, kecantikan bulu, kepandaian bersabung dan berbagai-bagai aspek lain lagi. Dan, oleh kerana selama ini, pemuda berkenaan merasakan bahawa ayam jantan beliaulah yang paling hebat di kampungnya maka beliau telah mencalonkan dirinya kepada penghulu dan penduduk kampung untuk menjadikan ayam beliau sebagai wakil kampung.

5. Sesampainya di kota, di mana lokasi atau gelanggang pertandingan tersebut diadakan, pemuda tersebut mendapati bahawa ramai peserta datang untuk menyertai pertandingan tersebut yakni dari seluruh pelusuk negara. Namun, kerana tidak pernah tahu akan kelebihan ayam jantan peserta yang lain itu; pemuda tersebut masih dengan angkuhnya mencanangkan bahawa ayam beliaulah yang paling handal antara semua ayam-ayam yang mengambil bahagian dan pasti akan menang.

6. Pemuda berkenaan sebenarnya tidak tahu bahawa pertandingan diluar kampung ini lebih hebat dan dahsyat kerana ayam-ayam jantan yang di bawa ke situ telah biasa bersabung hatta ke negara yang lain sekalipun. Sedangkan ayam pemuda ini, kampungpun belum pernah teruji. Baginya kampung itulah dunia.

7. Masa yang ditunggu-tunggu pun sampai. Tibalah masanya giliran ayam jantan pemuda itu untuk memperagakan kokokannya. Namun, oleh kerana tidak pernah berhadapan dengan ayam sabung lain yang lebih berpengalaman dan berkepandaian maka, ayam sabung pemuda berkenaan tidak keluar kokokannya hingga di sangka ayam jantan pemuda itu bisu dan telah ditertawakan. Sebenarnya, ayam tersebut malu kerana kokokan ayam-ayam jantan sebelumnya amatlah merdu dan pelbagai gaya pula sedangkan ayam jantan ini tidak tahu melakukan semua itu. Pendek kata, ayam jantan pemuda ini belum setanding dengan ayam-ayam jantan di luar sana.

8. Dengan rasa malu, pemuda itu terus berlalu pergi tanpa memperdulikan atau sempat mengambil ayamnya. Tindakannya itu telah menyebabkan bukan sahaja dirinya, bahkan semua orang kampung merasa cukup malu kerana sering ditertawakan oleh orang kampung yang lain.

9. Fikir-fikirkanlah...