Saturday, August 29, 2009

BERPOLITIK, SIAPA PUN BOLEH?

1. Seperti juga bidang-bidang yang lain, politik adalah satu kerjaya. Bezanya, politik terbuka untuk semua. Dari anak raja, dan golongan bangsawan sehinggalah ke rakyat biasa; dari individu yang berkulusan Phd dari universiti-universiti antarabangsa seperti Harvad, Oxford, Yale atau Cambridge sehinggalah orang kampung yang tidak berpendidikan formal; dari orang yang terkaya sehinggalah orang yang termiskin; dari orang muda sehinggalah orang yang paling tua, kesemuanya boleh menceburkan diri dalam arena politik kecuali terdapat halangan atau kesalahan undang-undang yang dilanggarnya, yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan untuk menceburkan diri dalam politik secara langsung.

2. Akan tetapi bukan semua hamba Allah yang mencebur diri di dalam politik akan berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Pastinya, ramai yang gagal dan kecewa walauapapun nawaitu, motif, dan alasan sebenarnya yang mendorong mereka ini mencebur diri dalam arena politik.

3. Ada pihak yang berpendapat bahawa kejayaan seseorang individu di dalam arena politik tidak semestinya disebabkan oleh ‘kelebihan’ yang ada pada dirinya, tetapi disebabkan oleh faktor-faktor lain. Kononnya, seseorang individu yang tidak ‘sepertinya’, berjaya di dalam kerjayanya sebagai politikus sebab mempunyai kaitan dengan individu lain yang ‘berkelebihan’. Kaitan yang dimaksudkan di dalam konteks ini ialah hubungan keluarga atau hubungan ‘mentor’ dan ‘mentee’ politik. Dalam erti kata yang lain, kononnya kepimpinan di dalam bidang politik boleh di warisi atau diwariskan.

4. Ada juga pihak lain yang berpendapat, ada sedikit kebenarannya, bahawa kepimpinan di dalam bidang politik boleh di warisi atau diwariskan, tetapi ianya bergantung kepada beberapa faktor-faktor lain. Kepimpinan tidak dapat diwariskan kepada seseorang yang tidak minat atau seseorang yang tidak ‘berkelayakan’ atau ‘berkemampuan’ untuk mewarisi kepimpinan tersebut.

5. Faktor lain ialah yang menentukan ‘kejayaan’ seseorang pemimpin itu ialah penerimaan orang ramai terhadap kebolehannya. Bukan penerimaan segelintir manusia sahaja. Atau bukan atas kehendak keluarga terdekatnya atau ‘mentor’ politiknya. Di atas segala-galanya ialah ketentuan Allah Subhanawataala. Dalam pada itu, ada juga individu yang tidak berkecimpung atau minat berpolitik tetapi tidak semena-mena dia diangkat ke jawatan yang tinggi seperti jawatan menteri, jawatan yang diidam-idamkan oleh ramai politikus. Tetapi, mereka yang ‘bernasib’ baik ini adalah mereka yang memiliki suatu ‘kelebihan’ di dalam bidang tertentu dan ‘kelebihannya’ itu diperlukan untuk membantu memantapkan sesuatu tugasan dan tanggungjawab..

6. Pada kebanyakan politikus, seperti kita termasuk saya, untuk cemerlang, gemilang dan terbilang di dalam politik di peringkat dan darjah masing-masing, kita perlu meyusuri jalan biasa. Kita mesti ada minat di dalam bidang politik; Kita mesti menjadi ahli sesebuah parti politik; Kita mesti memegang sesuatu jawatan di dalam parti yang kita sertai sebagai ahlinya;

Untuk dapat memegangi sesuatu jawatan di dalam parti, kita perlu untuk bertanding merebut jawatan tersebut dan menang.

Lebih tinggi jawatan yang kita sandang dalam organisasi politik, maka lebih cerah lah harapan kita untuk dipertimbangkan untuk dicalonkan . Itupun, kalau kita mempunyai hubungan baik dengan pihak-pihak ‘atasan’ yang bertanggung jawab untuk memilih calon atau kita tergolong di dalam kategori pemimpin yang ‘setia’ kepada kepimpinan pihak-pihak ‘atasan’ yang berkenaan.

7. Setiap parti pula mempunyai caranya sendiri untuk memilih pemimpin-pemimpinnya. Bagi parti seperti UMNO, caranya adalah lebih kurang seperti yang dijelaskan di perenggan 6 di atas.

8. Untuk menang sesuatu jawatan yang kita tandingi (untuk ahli UMNO) adalah perkara yang tidak mempunyai suatu sifir atau formula khas. Kemenang tidak dapat ditentukan oleh pelajaran yang tinggi; Kemenangan tidak ditentukan oleh keturunan keluarga yang baik yang telah banyak menanam budi kepada masyarakat; Kemenangan tidak ditentukan oleh kekayaan; Kemenangan tidak ditentukan oleh ibu bapa atau keluarga terdekat yang berpengaruh; dan sebagainya ....dan sebagainya. Adapun yang menentukan kemenangan, ialah penerimaan sebilangan banyak pengundi terhadap ‘seadanya’ pada diri sesaorang calun dan dengan restu Yang Maha Esa, Allah Subhanawataala.

Saya katakan ‘penerimaan yang ‘seadanya’ pada diri sesaorang calun, kerana pengundi yang ‘tidak pandai menilai’, sudah tentu tidak akan mengundi atau memenangkan calun yang ‘berkelebihan’ yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat politik daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Di sebaliknya, terdapat juga keadaan di mana pengundi ‘pandai menilai’ tetapi calon-calon yang dinilai semuanya terdiri dari pemimpin-pemimpin yang ‘below par’ dan tidak sampai ke mana cuma di peringkat kampung atau daerah mereka sahaja.

9. Ramai yang berminat dan kepingin mencebur diri di dalam kerjaya politik atas pelbagai sebab. Ada yang mencebur diri kerana memperjuangkan sesuatu isu yang dekat pada hatinya. Ada yang ingin jadi ‘Yang Berhormat’ untuk glamour sahaja. Ada yang terjerumus kerana desakan keluarga.....dan sebagainya......dan sebagainya......

10. Yang minat berpolitik pula mempamerkan pelbagai cara. Ada yang mencebur diri secara sepenuh masa, tiada kerja lain, politik semata. Ada yang politik sambilan sahaja, sambil kerja sebagai pegawai kerajaan, sambil berpolitik juga. Sampai hampir musim pilihanraya, dia dan orang-orang yang terdekat dengannya akan bergerak aktif melobi pihak-pihak yang berwajib untuk jadi calon pula. Malangnya bila tidak dicalonkan, dengan tiba-tiba pula menjadi tidak aktif.

11. Ramai juga yang minat berpolitik, tetapi takut terjun ke dalamnya. Politik mereka hanya duduk memerhati sebagai peminat perlawan main bola. Mereka takut menceburkan diri sepenuh masa sebab mereka tiada keyakinan pada diri sendiri. Hakikat yang sebenar orang seperti ini, kalau bertanding jawatan pun tetap akan kalah sebab tidak popular. Oleh kerana kecewa dengan keadaan ini, golongan seperti ini terus membebel sepanjang masa dan asyik menyalahkan orang lain pula atas nasib yang menimpanya.

12. Tidak kurang juga bilangannya yang ‘gila’ bertanding. Walaupun tidak pernah menang, dia tetap akan bertanding juga. Hanya dia sendiri yang faham sebenarnya kenapa dia bertanding. Mungkin atas sebab dia benci kepada mereka yang selalu menang dan mengalahkannya. Golongan ini berpegang atas prinsip ‘duri dalam daging’.

13. Ada juga yang berpolitik atas sebab bencinya kepada indivindu atau suku tertentu. Misinya cuma ingin lihat individu atau suku tertentu itu akan jatuh. Untuk itu, dia sanggup buat apa sahaja termasuk memfitnah ‘musuh’nya itu untuk memuaskan perasaan dendam di hatinya.

14. Tidak kurang juga yang berpolitik sebagai pemerhati atau pengkritik sahaja. Golongan ini pula terbahagi dalam dua kategori, ikhlas dan tidak. Yang ikhlas akan memberikan pendapat yang sebenar-benarnya demi untuk kepentingan rakyat jelata. Yang tidak ikhlas pula, sebarang pendapat darinya adalah agenda kepentingan sendiri atau pihak tertentu yang menjadi sekutunya.

15. Ada golongan yang berpolitik sebab ingin membuktikan kepada dunia bahawa jika diberikan peluang dia pun boleh!. Golongan ini biasanya ‘berkemampuan’ dan ‘berkelebihan’ dan apabila diberikan peluang mereka tetap cemerlang.

16. Cuma sedikit sahaja bilangan yang berpolitik atas sebab mereka ingin membuat peranan ‘to make a difference’, untuk membuat kebaikan untuk semua. Mereka ini, apabila berkuasa, berkerja keras untuk kebaikan rakyat jelata dan ingin ‘masuk’ di dalam lipatan sejarah bahawa sewaktu berpolitik dia telah cuba dengan sedaya upaya untuk memertabatkan bangsa, agama dan negaranya.

17. Sesungguhnya siapa pun boleh ‘berpolitik’!

1 comment:

Norawi said...

ya,memang benar.sesiapapun boleh berpolitik.Asalkan ianya boleh berbicara,mengupas agenda,isu itu,isu ini.Tapi kunci kejayaan bagi orang politik ialah no.1 minat barulah disusuli oleh lain-lain.

Minat dalam erti kata lain,minat berbakti,minat mengharung gelombang politik.Walau kadangkala tersadai, minat pun masih perlu.

Politik bukan setakat jenguk-jenguk atau jeling-jeling.Siapa yang berminat teruskan mendekati gelanggang.Tapi satu lagi perkara penting yang perlu ada pada orang politik ialah hubungan kawan dan hubungan dengan pihak atasan dan jika boleh, status pendidikan tinggi.

Tapi,apapun yang paling utama ialah minat dan bukannya masuk secara kebetulan. Cuma tak sempat saya huraikan di sini.