Saturday, April 30, 2011

PENDEKAR CAHAYA: "RIUH SALAKAN, TIADA GIGITAN"

1. Apabila berhadapan dengan kemuskilan atau masalah, PENDEKAR CAHAYA mengingatkan dirinya pada maksud tersirat kata-kata dan petua orang-orang yang terdahulu sebagai iktibar, teladan atau panduan untuk bertindak seterusnya.

2. Ada kata-kata orang dahulu yang berbunyi, "Kalau hendak menendang seekor anjing, pastikan dahulu bahawa anjing itu bukan dipunyai oleh seorang pembesar".

3. "Riuh salakan, tiada gigitan".

4. "Kalau hendak bergolek, goleklah, tapi jangan sampai luka".

5. "Keuntungan pejuang-pejuang bukan balasan atau imbuhan yang diperolehi serta merta tetapi tercatatnya nama di dalam lipatan sejarah yang dapat dibanggai oleh bangsa dan keturunannya".

6. "Di dalam keadaan yang dianggap berhadapan dengan kerugian, mungkin di situ juga terletaknya peluang keuntungan".

7. "Pihak yang menampilkan dirinya simpati atau perihatin, tidak semestinya akan menjadi regu yang ikhlas di dalam perjuangan dan sebaliknya pihak yang dianggap sebagai musuh rupanya sengaja berperanaan sedemikian untuk dapat membantu merealisasikan objektif perjuangan dengan lebih berkesan.

8. PENDEKAR CAHAYA telah lama menjelajah di gunung, laut, pantai, lurah dan lembah. Ada kalanya bersendirian dan ada kalanya berpasukan. Kesemuanya sama. Bersendirian atau berpasukan, ianya memerlukan pengorbanan dari semua yang berkenaan. Akan tetapi pengorbanan tidak sama tahapnya. Ada "hangat-hangat tahi ayam" dan ada pula yang "menyeluk pekesam sampai ke pangkal lengan". Dan tidak kurang juga bilangannya yang "mengadu domba".

9. SESUNGGUHNYA, PENDEKAR CAHAYA berpegang teguh kepada prinsip, "Jangan berjalan di hadapan, mungkin tiada yang akan ikut berjalan di belakang dan jangan berjalan di belakang, mungkin tiada yang akan mendahului berjalan di hadapan. Jalan seiringan sebagai teman-teman seperjalanan"

Wednesday, April 27, 2011

PENDEKAR CAHAYA: LAIN BATU LAIN KARANG, LAIN DAHULU LAIN SEKARANG; LAIN MASA LAIN GAYA, LAIN NEGARA LAIN CARANYA.

1. Dahulu, walaupun serba kekurangan, tiada menimba ilmu di menara gading, tidak banyak ilmu di dada, kurang pergaulan, tidak jauh perjalanan, namun mereka yang bergelar pemimpin atau yang beraspirasi menjadi pemimpin dapat menampilkan sikap, perangai dan daya fikir yang setimpal dengan kedudukan sebagai pemimpin atau bakal pemimpin.

2. Dahulu, walaupun ibu bapa buta huruf, namun mereka dihormati oleh anak-anak yang berpengajian tinggi. Anak-anak tidak tergamak atau berani menempelak atau mengaibkan ibu bapa dikhalayak ramai kalau pendapat atau pandangan mereka bercanggah. Anak-anak dengan rela mengalah, bukan kalah mempertahankan hujah tetapi berpegang pada suatu etika, "hormat" ibu bapa dan takut tulah. Tetapi, mereka yang bersikap sedemikian rupa, rata-rata berjaya di dalam perjuangan hidup mereka. Mungkin kah doa ikhlas ibu bapa yang tidak pernah terguris hatinya, yang sentiasa memohon pada yang Maha Esa supaya anak-anak mereka semporna hidupnya dikabul oleh Allah doa mereka?

3. Dahulu, demi kepentingan rakyat jelata, pemimpin-pemimpin pelbagai bangsa berunding, berpakat dan berkerjasama. Mereka mengenepikan kepentingan diri jauh sekali menuding jari. Sikap ikhlas itu berbaloi. Mereka telah dapat mengisi kemerdekaan negara dengan dasar dan polisi yang kejayaannya dapat kita nikmati bersama dizaman kita. Akan tetapi, pemimpin-pemimpin dizaman ini walaupun berbekal pelbagai pengalaman dan ilmu di dada, asyik bersengketa, menuding jari dengan tidak memperdulikan sasarannya. Apakah mungkin akibatnya kehancuran kejayaan yang sedia ada?

4. Ada bangsa minoriti di negara kita yang sanjung tinggi cara pentadbiran negara jiran, kononnya effisien, telus dan bertanggung jawab kepada kebajikan rakyatnya. Di sebaliknya, bangsa majoriti di negara jiran yang berkenaan tidak berpuas hati dengan parti pemerintah, sebab, kononnya walaupun negara mereka kaya, dipimpin pemimpin terkemuka di persada dunia, tetapi rakyatnya dikongkong tidak bebas bersuara dan sara hidup yang mahal membawa derita. Apakah ini sikap manusia yang sentiasa mencari sesuatu demi nafsu?

4. PENDEKAR CAHAYA telah hidup lama dan telah mengharungi hidup cara dahulu dan cara masa kini.

5. SESUNGGUHNYA, PENDEKAR CAHAYA berpegang pada cara hidup yang sederhana iaitu cara masa kini yang disulami dengan etika zaman dahulu.