Tuesday, September 8, 2009

PENDEKAR CAHAYA : PEMIMPIN MENDIRIKAN PERADABAN; PERADABAN DIRUNTUHKAN PEMIMPIN.

"Pemimpin membina peradaban, pemimpin meruntuhkan peradaban"

1. Dalam lipatan sejarah dunia, seringkali kita temui dan terbaca bahawa tamaddun atau empayar sesuatu bangsa didirikan oleh pemimpin yang mempunyai misi, visi dan kapasiti.

2. Misalnya, Genghis Khan (1162-1227) pemimpin Mongol telah menyatupadukan bangsa Mongolia dan kemudian mendirikan kekuasaan dan empayarnya dengan menakluki sebahagian besar wilayah asia.

Penggantinya memperluaskan empayar dan kekuasaannya yang meliputi China, Mongolia, Rusia, Korea, Vietnam, Burma, Kamboja, Timur Tengah, Poland, Hungaria, Arab Utara dan India Utara.

3. Seorang anak murid Pendekar Cahaya yang suka membaca sejarah dunia, bertanya kepada Pendekar Cahaya, ‘Kenapakah Empayar Mongol yang begitu unggul dan gagah hilang begitu sahaja di muka dunia?’

4. Pendekar Cahaya menjawab dengan perlahan dan berhati-hati bersandarkan satu teori pemikiran seorang penulis unggul Islam, Ibu Khaldun, yang menyatakan bahawa ‘Peadaban atau tamaddun yang didirikan oleh pemimpin unggul, mengalami masa pertumbuhan, masa pemantapan, puncak kegemilangan, pencemuhan, dan kemudian keruntuhan’.

5. Raut wajah gembira anak murid yang bertanya itu dengan tiba-tiba bertukar menjadi sedih, lalu bertanya lagi kepada Pendekar Cahaya, ‘Tuan Guru, sekiranya teori Ibnu Khaldun itu betul, adakah kemungkinannya negara kita yang tercinta ini, yang sewaktu awal merdeka keadaannya alah kadar sahaja dan pada masa ini menjadi sebuah negara membangun yang dicontohi oleh negara-negara dunia ketiga, akan runtuh dan kembali ke asalnya sebagai negara yang papa kedana?,

6. Dengan raut wajah yang sedih juga, Pendekar Cahaya menjawab, ‘Ah…memang begitulah nampaknya apa yang akan terjadi di negara yang tercinta ini, kalau pemimpin-pemimpin kita serumpun dan sebangsa, yang rata-rata bijaksana, akan terus bergeser dan bertelaga tanpa memikirkan buruk dan baiknya tindakan mereka itu kepada bangsa, agama dan negara’.

7. Di samping memberikan jawapan sedemikian rupa kepada anak muridnya itu, Pendekar Cahaya menaruh sepenuh harapan yang dibisikan oleh hati kecilnya, ‘Kalau anak murid saya, yang cuma setahun jagung umurnya, telah dapat membaca bahawa kalau polemik semasa berterusan, akibatnya negara menuju ke arah kehancuran, tidakkan pula pemimpin-pemimpin negara yang serumpun dan sebangsa serta bijaksana, tidak dapat membacanya.’

8. Sesungguhnya Pendekar Cahaya menghayati kisah-kisah dan sejarah tamaddun dunia. Kisah tentang jatuh-bangunnya peradaban dalam perjalanan sejarah umat manusia sejak berabad-abad yang lampau hingga kini mestilah dijadikan iktibar yang berharga.


No comments: