Wednesday, September 2, 2009

PENDEKAR CAHAYA : LAIN ORANG, LAIN SELERA; LAIN PEMIMPIN LAIN CARANYA

1. Jari-jari di tangan duduk sebaris, namun panjang dan besarnya tidak rata dan tidak sama.

2. Begitu juga lumrahnya manusia, lain orang lain gaya dan caranya. Ada yang merasa bersyukor dengan apa yang mereka miliki dan ada pula yang sudah memiliki yang dicita-cita kan tetapi masih memerlukan kelebihan, kekadang biarpun terpaksa memintas, merebut milik dan hak orang lain.

3. Pemimpin juga sama. Mereka semua hendak menabur jasabakti dan memartabatkan bangsanya. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Kata orang, berjaya atau tidak pokoknya mereka mencuba.

4. Ada pemimpin yang terukir di dalam lipatan sejarah dan telah berjaya membangunkan bangsanya dari segi minda, spiritual, material, fisikal dan segala, namun dia tak terlepas dari kritikan dan cemuhan oleh mereka yang tak pernah buat apa-apa untuk kebaikan diri dan keluarga, apa tak lagi bangsa, agama, negeri dan negaranya.

5. Ada pula pemimpin yang suka melakukan experiment dengan mengubah semua benda, dan perkara yang tersusun rapi pun diporakperandanya.

6. Ada pula yang lebih merbahaya kepada negara dan masyarakatnya, yakni pemimpin-pemimpin yang buta sejarah penubuhan negaranya atau tahu tetapi sengaja menolak kenyataan dan faktanya. Golongan ini asyik memesongkan fakta demi meladeni selera politik dan kemahuannya. Kontrak sosial dikatanya tidak termasuk dalam sejarah negara. Sebab itu. negeri-negeri yang tidak sama status dan darjat sebelum merdeka di anggapnya samarata. Negeri kecil ‘dibesarkan’ dan negeri besar pula ‘dikecilkan’.

7. Seperkara yang melucukan ialah gelagat mereka yang asyik memerhatikan dan meniru -niru cara pimpinan-pemimpin sepenuh masa. Mereka ini mempamirkan gaya dan memperagakan perwatakan seolah-olah mereka tahu serba serbi dan segala-galanya di dalam dunia, walhal memasang tali leher pun tak pandai menyesuaikannya dengan warna bajunya.

8. Pada Pendekar Cahaya, itu semua pengajaran baginya. Dia pandai mengkritik dan sanggup dikritik; dia pandai menyuruh orang berubah dan sanggup pula berubah; dia tidak pandai dan tidak tahu segala-gala, maka itu dia sentiasa menambah ilmu di dada dan terus berguru walau dari seorang yang lebih muda daripadanya.

9. Ada pula pemimpin yang ‘action’ atau tunjuk gaya, dan tak mahu duduk menjamu selera di warong, gerai dan restaurant biasa sebab kononnya dia tak selesa. Dia cuma berselera makan di tempat-tempat trendy, glamour dan exclusive sahaja. Sebaliknya ada pula pemimpin yang terpahat di hatinya kesederhanaan, 'simple’ yang boleh duduk dan menjamu selera di mana-mana, sebab mengerti dengan maksud peribahasa, ‘ular menyusur akar tak akan hilang bisanya’.

10. Dalam pada itu, Pendekar Cahaya tahu benar menghayati dirinya yang serba kekurangan. Namun dia berpegang teguh kepada prinsipnya. Dia menghayati mesej dan pengajaran di sebalik sebuah cerita arab pada zaman purba, iaitu Dzulkarnain dan anaknya yang menunggang keldai dalam perjalanan melewati desa-desa dan perkampungan, yang ceritanya lebih kurang seperti berikut:-

“Dzulkarnanin dan anaknya adalah peniaga. Mereka menjajah barangan ke kampung-kampung dengan menunggang seekor keldai. Barang-barang diikat di belakang keldai peliharaan mereka. Di dalam perjalanan, mereka bergilir-gilir untuk menunggang keldai kerana kepenatan.
Pada setiap tempat yang mereka lalui ada sahaja komen orang-orang kampung yang berbeza-beza seperti teguran, ‘Hai budohnya orang tua ini, menunggang keldai sementara anaknya dibiarkan berjalan kaki di belakang’.

Apabila Dzulkarnain mendengar teguran ini, dia berjalan kaki pula dan menyuruh anaknya menunggang keldai dan dia berjalan di hadapan memegang tali dan mengheret keldai.

Apabila mereka melewati sebuah lagi kampung, mereka berdua terdengar pula teguran dari orang kampung tersebut, "Hai budohnya anak muda ini membiarkan orang tuanya berjalan kaki dan mengheret keldai . Sepatutnya dia yang berjalan kaki".

Apabila anak Dzulkarnain mendengar teguran ini, dia menjemput bapanya menunggang keldai bersama-sama.

Dan apabila orang-orang di sebuah kampung yang mereka lewati nampak dua orang manusia menunggang seekor keldai yang sarat dengan barang-barang jualan, mereka menegur pula, “Kejamnya kamu berdua. Tidak kah kamu kesihan kepada seekor binatang yang sekecil itu yang sudahpun dibebankan dengan barang jualan yang berat, kamu bebankan pula lagi dengan berat badan kamu.’

Dzulkarnain dan anaknya berasa malu dan kasihan kepada keldai kesayangan mereka itu. Lalu Dzulkarnain dan anaknya meneruskan perjalanan dengan memikul keldai itu dan barang-barangnya sekali di atas bahu mereka, bergilir-gilir.

Cerita selanjutnya saya biarkan untuk kita fikirkan bersama demi mencapai lakaran cerita yang lebih indah.

11. Pendekar Cahaya tahu, sesungguhnya benarlah kata-kata hikmat seorang ahli politk kulit putih, "aspirasi dan kehendak setiap individu pada sesuatu masa sukar untuk dipenuhi" atau dalam bahasa ekonominya "kemahuan manusia tidak terbatas sedang sumbernya amat terhad"

12. Pendekar Cahaya melakukan sesuatu dan membuat keputusan mengikut caranya tersendiri. Yang penting, kata orang, dia telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab untuk memertabatkan bangsa dan rumpunnya dan bukan untuk kepentingan orang-orang yang mengelilinginya sahaja.

No comments: