Monday, September 14, 2009

PENDEKAR CAHAYA : POLITIK DINASTI VS. POLITIK MERITOKRASI.

1. Terdapat perselisihan pendapat mengenai isu POLITIK DINASTI DAN POLITIK MERITOKRASI ini.

2. Satu cabang pemikiran mengatakan bahawa politik dinasti itu tidak baik bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Pemikiran ini berdasarkan kepada kenyataan bahawa pemimpin yang menwarisi 'kuasa' tidak semenstinya mempunyai kualiti kepimpinan dan kelebihan diri bebanding dengan yang mewariskannya. Amalan politik dinasti juga kononnya bercanggah dengan prinsip meritokrasi di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi di mana "government by the people and for the people" menjadi asas atau fundamentalnya.

3. Satu cabang pemikiran pula mengatakan bahawa adalah tidak salah mengamalkan politik dinasti sekiranya sipewaris memiliki kualiti kepimpinan dan mempunyai kelebihan diri dan keupayaan mentadbir negara atau negeri dengan adil dan saksama.

4. Sesungguhnya Pendekar Cahaya tidak memberikan perhatian berat kepada perkara biasa seperti ini, dimana dinegara ini dan bahkan diseluruh dunia mengamalkannya.

PENDEKAR CAHAYA : POLITIK ITU KEJAM?

1. Memang dalam permainan politik, seringkali kita temui amalan yang tidak jujur sehingga menjadikan nama politik itu hodoh dan kejam. Politik wang misalnya telahpun memperlihatkan kesan kecatatan dan kemusnahan, bukan sahaja kepada organisasi malah kepada sistem yang sepatutnya dijadikan panduan bagi keharmonian masyarakat .

2. Terdapat juga pihak-pihak tertentu yang menggunakan kuasa politik untuk mencantas teman seperjuangan di dalam organisasi parti politik yang sama. Sering kita lihat dan dengar sesetengah pemimpin dinafikan haknya dan peluangnya secara "deliverate' untuk bertanding semata-mata kerana dia dianggap sebagai pesaing atau ancaman kepada kedudukan pihak tertentu tersebut kelak.

3. Terdapat pula pihak yang sanggup menggunakan ‘networking’nya atau rangkaiannya di dalam organisasi parti yang sama dengan mempengaruhi mereka agar tidak memilih atau menyokong calon-calon yang bertanding merebut kedudukan di dalam parti mereka, kendatipun mereka yang cuba dicantas itu adalah teman seperjuangan yang mempunyai keupayaan dan kualiti yang lebih baik daripada diri mereka sendiri. Perkara yang menjadi keutamaan baginya ialah dapat merealisasikan halatuju dan impian peribadinya tanpa menghadapi saingan dan ancaman pihak lain sekalipun dari mereka yang bernama "sahabat".

4. Atas sebab-sebab itu, ada pihak yang mengatakan bahawa politik itu kejam dan tega kerana sesetengah pihak mempunyai pegangan dan pemikiran yang terlalu condong dan cenderung pada agenda politik peribadi semata-mata. Halatuju sedemikian hanyalah pada perspektif “menang-kalah”. (win-lose)

5. Pendekar Cahaya berpeluang bertanya pada ramai pengamal politik dalam negara, mengenai norma politik yang mereka kagumi; “Adakah halatuju politik itu semestinya bersandarkan kepada konsep “menang-kalah” dalam kontek yang sebenar-benarnya"?

6. Pendekar Cahaya bertanya lagi, “Mungkinkah pemimpin-pemimpin nasional yang berkalibar memiliki paradigma yang berpegang kepada konsep ‘menang-menang’ (win-win), sehingga tiada pihak yang merasa ‘kalah’ dan terkilan, malah semuanya merasa ‘menang-menang’?

7. Pendekar Cahaya sedang tekun memikirkan; kiranya benar politik itu sebagai cabang seni yang padat dan sarat dengan ‘kemungkinan’, apakah ada kaedah bagi pemimpin-pemimpin politik bertindak untuk ‘memenangkan semua pihak’?

8. Sesungguhnya Pendekar Cahaya berpendirian bahawa politik itu tidak seharusnya zalim dan tidak semestinya satu kerjaya untuk berlaku ‘kejam’.

Sunday, September 13, 2009

PENDEKAR CAHAYA : POLITIK ANEH DAN SUKAR DIFAHAMI

1. Tidak semua pengamal politik atau aktivis politik faham atau mengenali “politik” sebelum mereka menceburkan diri dan melangkah masuk di dalamnya.

2. Ramai yang mengatakan bahawa politik itu aneh, unik dan sukar untuk difahami.

3. Untuk dapat mengenalpasti apa itu “politik” yang sebenar-benarnya, pengamalnya atau aktivis politik memerlukan masa panjang dan terpaksa mengharungi proses orientasi dan adaptasi.

4. Ada yang bilang politik itu candu, dimana kalau sudah terlibat di dalamnya, susah untuk berhenti.

5. Pengamal politik merasa tidak pernah mati.

6. Politik tidak ada had tempohnya. Ia berlaku selamanya.

7. Winston Churchill pernah berkata, “Dalam peperangan anda (tentera) terbunuh sekali sahaja, tetapi dalam politik bisa terbunuh beberapa kali". In war you can only be killed once, but in politics, many times."

8. Pendekar Cahaya juga pernah mendengar sebuah ungkapan; “Dalam politik, tiada kawan setia dan tiada musuh buat selama-lamanya”.

9. Sesungguhnya Pendekar Cahaya mengakui bahawa politik adalah suatu kerjaya yang sukar untuk difahami, unik dan aneh.

PENDEKAR CAHAYA : POLITIK PENUH INKONSISTENSI (PERCANGGAHAN)

1. Walaupun dipercayai umum bahawa politik itu adalah satu seni, namun ianya juga merupakan satu seni yang memiliki ciri-ciri inkonsistensi yang amat ketara .

2. Elemen Inkonsistensi ini dicetuskan oleh faktor “kepentingan”.

3. Menjaga dan melindungi “kepentingan” pula mencetuskan pergeseran di kalangan pengamal-pengamal politik.

4.Ada pengamal politik yang sanggup merubah pendirian asalnya demi untuk mengekalkan atau melindungi 'kepentingan'nya.

5. Berpaksikan kepada keadaan dan kenyataan inilah Pendekar Cahaya terus berpegang teguh kepada satu prinsip yang tulin yakni ‘mengabadikan perjuangan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

6. Prinsip perjuangan yang tulin seperti inilah yang lebih murni dan abadi. Lalu kita sandarkan perjuangan dengan redha kepadaNya.

PENDEKAR CAHAYA : POLITIK ITU PERMAINAN?

1. Pertandingan dan pertarungan telah menjadi resam politik. Ada pihak-pihak yang harus ‘menang’ dan ada pihak yang ‘kalah’.

2. Atas sebab itu, ada pihak yang berpendapat bahawa politik itu adalah satu permainan.

3. Oleh kerana adanya pertandingan dan pertarungan, maka pentas politik adalah gelanggang kontestasi, di mana para kontestan politik saling bersaing dan berlaga antara satu dengan yang lain.

4. Pada kontestan yang berjuang di atas landasan dan ideologi menegakkan agama, bangsa dan negara, walaupun kecundang dalam pertandingan, mereka tidak akan berputus asa malah akan terus mencuba dan terus berjuang.

5. Bagi kontestan yang berjuang sekadar untuk ‘glamour’ sahaja, kekalahannya akan membawa kekecewaan yang tidak terhingga pada dirinya walaupun bersifat sementara.

6. Sesungguhnya, Pendekar Cahaya berpendirian bahawa politik itu adalah bukan sekadar permainan atau sekadar tabung uji orang muda yang bersahaja untuk mencari populariti atau wacanah untuk ‘glamour’.

PENDEKAR CAHAYA : POLITIK ITU SENI

1. Politik sering disebut sebagai “seni kemungkinan” (Politics is the art of the possible). Apa yang tidak mungkin terjadi di dalam bidang lain, mungkin menjadi satu perkara atau amalan dalam seni politik.

2. Dalam seni politik, terdapat pelbagai strategi yang berbentuk diplomasi, perundingan, penggabungan, kempen dan seumpamanya. Di situ ada seni berbentuk plan tindakan untuk meyakinkan dan memperaga ideologi politik. Politik berupaya untuk merobah seseorang dari bertaraf “orang biasa” menjadi “orang berkuasa” sesuai dengan matlamat politik yakni "mendapat kuasa".

3. Bagi yang belum berkuasa, politik adalah seni untuk meraih kekuasaan dengan menggunakan pelbagai strategi, cara dan kaedah untuk mengamit sokongan dan dokongan masyarakat.

4. Bagi yang sudah memperolehi dan memiliki kuasa dan “berkuasa”, politik boleh digunakan sebagai “seni memutuskan” suatu tindakan dan idea yang bijaksana supaya dapat memberi kesan positif dan manfaat yang berguna kepada mereka yang dipimpin seterusnya kepada generasi mereka.

5. Sesungguhnya, Pendekar Cahaya berpendirian bahawa politik itu adalah seni. Seni yang disaluti pelbagai kemungkinan.

Tuesday, September 8, 2009

PENDEKAR CAHAYA : PEMIMPIN MAHU BERSATU, RAKYAT MAHU BERGADUH.

Sebuah televisyen tempatan, Metronews melaporkan kumpulan berkenaan bertindak merampas kad pengenalan rakyat Malaysia supaya mereka diusir dari Indonesia.

1. Bulan lalu, negara jiran di Pattaya, Thailand telah menjadi tuan rumah satu Persidangan Speaker-speaker negara-negara di Asean.

2. Pelbagai agenda untuk kebaikan bersama telah dibincang dan dirumuskan. Antaranya ialah menyelaraskan undang-undang di rantau Asean yang berkaitan dengan masalah ‘human trafficking’, dadah dan sebagainya.

3. Objektif utama persidangan tersebut ialah untuk menyediakan wadah untuk melicinkan proses pengujudan komuniti Asean (seperti EEC) menjelang tahun 2015.

4. Pendekar Cahaya terdengar hujah Speaker Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan tersebut. Antaran hujah nya adalah seperti berikut:

”As parliamentarians let us work together to suppress negatives elements that can undermine the spirit of regional cooperation in ASEAN against a background of globalization and growing transnational issues especially on non-traditional security issues or human security issues such as terrorism, pandemics, piracy, energy and environment.”

5. Utusan Malaysia, pada hari rabu 9 Septembar ada melaporkan;

“JAKARTA 8 Sept. – Sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata bulu runcing menahan kenderaan-kenderaan yang melalui Jalan Deponegoror di sini dalam gerakan yang dipanggil ‘Sweeping Malaysia’ (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia.

Kumpulan berkenaan yang mengikat bendera Indonesia di kepala bertindak menahan semua kenderaan dan meminta pemandu dan penumpang menyerahkan kad pengenalan masing-masing.

Sebuah televisyen tempatan, Metronews melaporkan kumpulan berkenaan bertindak merampas kad pengenalan rakyat Malaysia supaya mereka diusir dari Indonesia.

Kumpulan terbabit yang tidak berpuas hati dengan sikap berlembut Kerajaan Indonesia terhadap Malaysia berhubung isu tarian Pendet sebelum ini telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kedutaan tersebut.

Indonesia sebelum ini menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet berasal dari Bali dalam promosi pelancongan, walaupun kesilapan itu sebenarnya dilakukan oleh sebuah syarikat swasta dan tidak membabitkan kerajaan Malaysia”

6. Mungkinkah perkara sebegini yang dimaksudkan oleh Speaker Dewan Rakyat Malaysia itu, sebagai “negatives elements?”

7. Sehubungan dengan itu, Pendekar Cahaya menaruh sepenuh harapan agar pihak-pihak yang berwajib dan berkuasa di kedua-dua negara Islam yang berjiran, Malaysia-Indonesia, dapat bertindak dengan segera dan bijaksana untuk mengatasi perselisihan faham ini supaya rakyat Malaysia yang berada di Indonesia dan rakyat Indonesia yang berada di Malaysia yang tidak berdosa, tidak menjadi mangsa keadaan.

PENDEKAR CAHAYA : PEMIMPIN MENDIRIKAN PERADABAN; PERADABAN DIRUNTUHKAN PEMIMPIN.

"Pemimpin membina peradaban, pemimpin meruntuhkan peradaban"

1. Dalam lipatan sejarah dunia, seringkali kita temui dan terbaca bahawa tamaddun atau empayar sesuatu bangsa didirikan oleh pemimpin yang mempunyai misi, visi dan kapasiti.

2. Misalnya, Genghis Khan (1162-1227) pemimpin Mongol telah menyatupadukan bangsa Mongolia dan kemudian mendirikan kekuasaan dan empayarnya dengan menakluki sebahagian besar wilayah asia.

Penggantinya memperluaskan empayar dan kekuasaannya yang meliputi China, Mongolia, Rusia, Korea, Vietnam, Burma, Kamboja, Timur Tengah, Poland, Hungaria, Arab Utara dan India Utara.

3. Seorang anak murid Pendekar Cahaya yang suka membaca sejarah dunia, bertanya kepada Pendekar Cahaya, ‘Kenapakah Empayar Mongol yang begitu unggul dan gagah hilang begitu sahaja di muka dunia?’

4. Pendekar Cahaya menjawab dengan perlahan dan berhati-hati bersandarkan satu teori pemikiran seorang penulis unggul Islam, Ibu Khaldun, yang menyatakan bahawa ‘Peadaban atau tamaddun yang didirikan oleh pemimpin unggul, mengalami masa pertumbuhan, masa pemantapan, puncak kegemilangan, pencemuhan, dan kemudian keruntuhan’.

5. Raut wajah gembira anak murid yang bertanya itu dengan tiba-tiba bertukar menjadi sedih, lalu bertanya lagi kepada Pendekar Cahaya, ‘Tuan Guru, sekiranya teori Ibnu Khaldun itu betul, adakah kemungkinannya negara kita yang tercinta ini, yang sewaktu awal merdeka keadaannya alah kadar sahaja dan pada masa ini menjadi sebuah negara membangun yang dicontohi oleh negara-negara dunia ketiga, akan runtuh dan kembali ke asalnya sebagai negara yang papa kedana?,

6. Dengan raut wajah yang sedih juga, Pendekar Cahaya menjawab, ‘Ah…memang begitulah nampaknya apa yang akan terjadi di negara yang tercinta ini, kalau pemimpin-pemimpin kita serumpun dan sebangsa, yang rata-rata bijaksana, akan terus bergeser dan bertelaga tanpa memikirkan buruk dan baiknya tindakan mereka itu kepada bangsa, agama dan negara’.

7. Di samping memberikan jawapan sedemikian rupa kepada anak muridnya itu, Pendekar Cahaya menaruh sepenuh harapan yang dibisikan oleh hati kecilnya, ‘Kalau anak murid saya, yang cuma setahun jagung umurnya, telah dapat membaca bahawa kalau polemik semasa berterusan, akibatnya negara menuju ke arah kehancuran, tidakkan pula pemimpin-pemimpin negara yang serumpun dan sebangsa serta bijaksana, tidak dapat membacanya.’

8. Sesungguhnya Pendekar Cahaya menghayati kisah-kisah dan sejarah tamaddun dunia. Kisah tentang jatuh-bangunnya peradaban dalam perjalanan sejarah umat manusia sejak berabad-abad yang lampau hingga kini mestilah dijadikan iktibar yang berharga.


Monday, September 7, 2009

PENDEKAR CAHAYA : PELBAGAI NADA SUARA DAN TIADA SUARA.

Siapa sebenarnya yang bersuara nyaring dan menengking?
Suara mereka kaku dan lesu. Mencari sesuatu yang belum tentu ada untuk menambah yang hampir tiada.

1. Di dalam sebuah negara muda, berkependudukan pelbagai bangsa, budaya dan agama sememangnya, mempunyai pelbagai nada suara yang dikumandangkan sebagai wadah untuk menarik perhatian pihak berwajib dan berkuasa.

2. Ada bangsa yang bilangannya tidak seberapa ramai. Mereka tinggal di kota-kota dan bandaraya. Mereka ini adalah golongan berada, mewah dan hampir memiliki serba serbi, memanfaatkan segala infrastruktur yang disedia oleh pihak pemerintah, tetapi bersuara nyaring dan menengking, memohon pada pihak pemerintah supaya yang sedia ada pada mereka di tokok dan ditamba, walhal suara mereka adalah suara pembantah.

3. Ada bangsa yang bilangannya boleh menentukan kekalahan atau kemenangan di dalam pilihan raya. Mereka tinggal di desa-desa, di pinggir-pinggir kota dan bandaraya. Keupayaan dan sumber yang ada pada mereka tidaklah memadahi untuk meneruskan kehidupan selesa. Tetapi mereka bersuara dengan tertib, sopan dan berhemah tinggi. Mereka memohon pada pihak pemerintah mengikut norma dan tata susila supaya serba serbi yang kurang pada mereka, yang tidak memadai itu, dapat ditokok untuk menjadi bekalan bagi mereka terus dapat melayari kehidupan walaupun sederhana, walhal suara mereka golongan ini adalah suara pendokong kental pemerintah .

4. Ada bangsa yang bilangannya seperti jumlah mereka yang nyaring suaranya. Mereka tinggal di persisiran pantai, bukit bukau dan hutan tropika. Sumber yang ada pada mereka, kata orang ‘apa abuk pun tiada’ sejak 52 tahun negara merdeka. Mereka ingin memohon dan merayu pada pihak berkuasa dan pemerintah supaya yang langsung tiada pada mereka dapat diberikan dengan segera dengan seadanya. Akan tetapi mereka ini tiada suara yang nyaring malah seperti ‘orang kurang upaya’.

5. Pendekar Cahaya sedih dan pilu apabila mengenangkan keadaan yang melanda negara, di mana, mereka yang berada dan memiliki hampir segala-galanya, selalu diberi perhatian dan mendapat layanan istimewa dengan lebih dari secukupnya.

6. Hati Pendekar Cahaya bertanya pada dirinya, "Apakah yang akan terjadi pada negara, apabila bangsa yang jumlah bilagannya yang dapat menentukan keputusan pilihanraya, berpadu suara dengan bangsa yang bilangannya sama seperti jumlah mereka yang nyaring suara. Lalu mereka mengkumandangkan suara dengan gemuruh bagai gendang perang yang gegak gempita dengan gaya yang lebih dasyat berbanding dengan mereka yang bersuara nyaring tetapi suka menengking?’

7. Pendekar Cahaya rasa keseraman menyelinap tubuhnya dan cuba mententeramkan dirinya dengan bertafakur penuh tawadu' dan berdoa kepadaNya. Ya Allah sampaikanlah suara-suara ini ke telinga pemimpin pihak pemerintah agar terdengar oleh mereka suara-suara rintihan dari mereka yang selama ini memendamkan rasa dan menanggung jerih perih seperti ‘orang kurang upaya’, namun tetap sabar menanti untuk dibantu dan diangkat mertabatnya dari rantaian kepahitan hidup, kendatipun mereka dalam keadaan yang kaku dan lesu.

8. Sesungguhnya, Pendekar Cahaya faham bahawa perasaan, keinginan dan keperluan orang yang bersuara nyaring dan orang yang bersuara sepi adalah sama. Bezanya ialah yang satu mendokong suara pihak pembantah dan yang satu lagi mendokong pihak pemerintah.

Friday, September 4, 2009

PENDEKAR CAHAYA : KONTRAK SOSIAL DAN 1 MALAYSIA, APA MAKNA SEBENARNYA UNTUK SARAWAK DAN SABAH?

Tun Mustapha dan Tun Fuad antara "Foundung Father" Negara Malaysia.

1. Che Det telah menghuraikan dengan panjang lebar di alam siber makna kontrak sosial. Kepada yang berminat, layarailah alam siber dan hinggaplah ke halaman web blog Che Det. Anda pasti menemuinya.

2. Pada Pendekar Cahaya, kontrak sosial adalah persafaham dan persetujuan awal di antara pemimpin-pemimpin dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya, yang telah dijadikan asas untuk menggubal satu perlembagaan sebuah negara baru, Negara Malaysia.

3. Pada yang tersurat dan tersirat, Malaysia adalah negara yang diwujudkan oleh empat wilayah yang mempunyai entiti dan autonomi kuasa sendiri. Itulah pemikiran “founding fathers” Negara Malaysia.

4. Makna 1Malaysia yang menjadi gagasan Perdana Menteri Keenam adalah selaras dengan apa yang telah diilhamkan dan dipersetujui oleh “founding fathers” negara tercinta, Malaysia.
.
5. Pendekar Cahaya teruja dengan slogan 1Malaysia, cetusan minda Perdana Menteri keenam. Semoga makna slogan ini adalah menyamai bait-bait yang telah digariskan oleh "founding fathers" negara Malaysia iaitu, "membangun bersama sebagai satu bangsa Malaysia". Dalam masa yang sama, semangat kontrak sosial (bagi Sabah) seperti isu ‘20 Perkara’ (hak-hak rakyat Sabah dalam Malaysia) yang di aktifkan semula, akan terus subur di jiwa rakyat jelata, sama seperti pemikiran ‘founding fathers of Malaysia’, di antaranya Datu Mustapha Datu Harun dan Donald Stephens untuk diabadikan selama-lamanya.

6. Pada Pendekar Cahaya, jika sekiranya makna 1Malaysia adalah sama seperti yang diilhamkan dan dipersetujui oleh “founding fathers of Malaysia” termasuk pemimpin-pemimpin dari Sarawak dan Sabah, maka tidak ada alasan yang munasabah kenapa dan mengapa rakyat jelata di sebelah timor, di Sarawak dan Sabah harus terpengaruh oleh "janji manis" dari parti-parti pembantah dari sebelah barat negara.

7. Sesungguhnya, pada Pendekar Cahaya, rakyat jelata dari sebelah timor negara telah berpegang teguh pada janji awal dan asalnya iaitu, sehingga hari ini dokongan mereka terhadap pihak pemerintah Negara Malaysia telah tidak berubah sehingga diakui oleh Perdana Menteri keenam bahawa sokongan rakyat jelata dari sebelah timor negara boleh diumpamakan seperti "simpanan tetap" di gedung dana negara.

8. Akan tetapi, Pendekar Cahaya berasa agak kurang selesa apabila teringat suatu soalan sinis dari anak muridnya iaitu, "Sebagai simpanan tetap yang telah dan akan menjamin kedudukan parti pemerintah, mungkinkah pulangannya juga ditingkatkan berlipat ganda, melebihi janji-janji manis pihak pembantah, kalau tidak apa gunanya?"

9. Pendekar Cahaya berasa tidak selesa sebab dia bukanlah pihak berwajib dan berkuasa yang boleh memberikan jawapan yang memuaskan terhadap persoalan yang telah dibangkitkan. Pada Pendekar Cahaya, soalan anak muridnya itu ada asasnnya sebab keadaan pembangunan hartanah dan infrastruktur di Barat dan di Timor negara jauh berbeza.Di sebelah Barat negara, penduduknya 'bertengkar' pasal isu kelajuan trafik di alam siber. Manakala di sebelah Timor negara, penduduknya 'bertengkar' pasal isu ketiadaan jalan raya. Di sebelah Barat negara, penduduknya 'bertengkar' pasal bilangan jambatan besar yang perlu ditambah. Manakala di sebelah Timor negara, penduduknya 'bertengkar' pasal jambatan gantung yang belum dibina. Di sebelah Barat negara, penduduknya 'bertengkar' pasal semua hal yang sudah ada tetapi mahu di tambah dan tambah dan tambah.....Di sebelah Timor negara, penduduknya 'bertengkar' pasal semua hal yang belum ada dan perlu di bina dan di bina dan di bina.........Tetapi, Pendekar Cahaya berkeyakinan bahawa pihak pemerintah di bawah teraju Perdana Menteri yang keenam akan membuat perkara yang perlu dan terdaya sebagai jawapan kepada persoalan itu. Kini Pendekar Cahaya sudah pun melihat bahawa ada tanda-tanda pergerakan awal menuju ke arah itu.

10. Pendekar Cahaya sentiasa berdoa kepadaNya semoga hati dan minda pemimpin-pemimpin dari sebelah Barat negara akan terbuka untuk tidak melupai ehwal dan kebajikan rakyat sebelah Timor negara, agar sejahteralah rakyat dan negara 1Malaysia amnya dan selamanya

PENDEKAR CAHAYA : FATWA BERBEZA MENGGUGAT AKIDAH?

Tok Guru..LKY pastinya tidak akan mengeluarkan fatwa mengenai Islam. Bolehkah dia menghina Islam kerana kecetekan ilmunya tentang Islam?


1. Terkejut Pendekar Cahaya mendengar fatwa Tok Guru di Serambi Mekah bahawa, ‘Hukumnya bagi orang yang ‘menghina’ kesucian Agama Islam itu tidak dikenakan apa-apa celaan jika individu itu cetek fahamannya pada agama Islam atau sememangnya bukan beragama Islam.’

2. Beberapa puluh purnama yang lalu, seluruh negara Islam di dunia mengutuk seorang individu di Europa yang menghina Pesuruh Allah melalui lukisan dan kalikaturnya. Individu berkenaan cetek fahamanya terhadap agama Islam. Dunia Islam juga mengutuk penerbitan film "Fitnah" oleh seorang produser Holland yang nyata cetek fahamannya tentang Islam.


3. Malah Ayatollah Khomeni, ulama yang meruntuhkan sistem pemerintahan beraja di negaranya, Iran, melalui revolusi, pernah mengeluarkan fatwa untuk menghapuskan penulis buku 'Satanic Verses', Salman Rusdie, kerana kandungan buku tersebut menghina agama Islam dan kitab suci Al-Quran. Salam Rusdie cetek fahamannya terhadap agama Islam. Pemimpin-pemimpin negara-negara Islam seluruh dunia termasuk Malaysia juga mengutuk perbuatan penulis itu, menyebabkan ia tidak bebas menjelajah ke sana ke mari seperti manusia biasa yang lain sehinggalah ke hari ini.

4. Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan hukuman sebat enam kali dan denda RM5,000.00. ke atas seorang wamita Islam. Hukuman ini adalah yang julung kali dijatuhkan terhadap seorang model wanita, Dewi Kartika Sari Soekarno, yang telah didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang kerana meminum arak di tempat awam, telah ditangguhkan. Tidak pula bermakna dia tidak menyalahi hukum jika dia meminum arak di tempat yang tersorok. Antara sebab penangguhannyanya ialah kerana terdapat perbezaan pendapat di kalangan pemegang hukum dan ulama-ulama tanah air selain keberadaaan kita dalam bulan Ramadan Al Mubarak..

5. Pada Pendekar Cahaya, gelagat pegamal politik dan "ulama-ulama" tanah air hampir serupa. Terkadang pendapat mereka bercanggah antara satu dengan yang lain sehingga mengelirukan ummah dan rakyat jelata. Malah memberikan gambaran bahawa hukum Islam dilaksanakan berbeza-beza.

6. Pendekar Cahaya berpegang teguh kepada prinsip keikhlasan mengatasi dan menghindari kehipokritan agar tindak-tanduknya sentiasa berada di atas landasan yang diredhai Allah Subhanwatala..

Wallahu wallam.



PENDEKAR CAHAYA : NAMPAK BERBEZA, RUPANYA SAMA.

Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak. Siapakah yang sebenarnya yang melaksanakan perubahan? Siapakah pula yang perlu berubah?

1. Dalam kesibukan menghayati isu-isu politik daerah dan pergolakan politik nasional, terkadang Pendekar Cahaya merasa seakan kebingungan memikirkan pergeseran ideologi dan perbezaan prinsip di antara pemimpin pihak pemerintah dan pemimpin pihak pembantah.

2. Terdapat pihak yang menyatakan bahawa jurang perbezaan idelogi dan prinsip ini amat jauh dan semakin ketara. Terdapat pula sesetengah yang beranggapan bahawa pihak pemerintah masih ditakok lama, berpegang kepada dasar yang lapuk dan enggan untuk berubah bagi menyesuaikan diri dengan kehendak dan gelagat rakyat jelata mengikut peredaran zaman yang semakin serba moden dan canggih ini. Pihak pemimpin pemerintah pula mendakwa bahawa “perkara yang perlu diubah, dan perlu mengalami proses innovasi bukanlah dasar-dasar dan sistem yang sedia ada semata-mata, kerana dasar-dasar dan sistem telah terbukit dampaknya yang telah memanfaatkan rakyat jelata terutama bukan sahaja Melayu dan Bumiputera, malah kemakmuran negara dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia."

3. Bagi mendapatkan kepastian, Pendekar Cahaya membuat kajian dan tinjauan rambang dengan mengajukan beberapa pertanyaan dan kemusykilan kepada pihak-pihak tertentu seperti berikut:-
  • Sanggupkah pihak pemimpin pembantah melihat dan menerima hakikat bahawa yang menduduki teraju Ketua Hukum Negara terdiri dari bukan Melayu atau bukan Bumiputera?
  • Sanggupkah pihak pemimpin pembantah melihat dan menerima hakikat bahawa yang menduduki jawatan Pengelola Gedong Dana Negara terdiri dari bukan Melayu atau bukan Bumiputra?
  • Sanggupkah pihak pemimpin pembantah melihat dan menerima hakikat bahawa yang menduduki jawatan Ketua Pendakwa Hukum Negara terdiri dari bukan Melayu atau bukan Bumiputra? dan
  • Sanggupkah pihak pemimpin pembantah melihat dan menerima bahawa yang menduduki jawatan Perdana Kuasa Negara dan Timbalannya terdiri dari bukan Melayu atau bukan Bumiputra?

4. Ternyata, jawapan dan respond dari pihak-pihak yang berkenaan adalah jelas, TIDAK.

5. Dengan jawapan itu, maka kesimpulannya, pada pandangan Pendekar Cahaya, bahawa negara tercinta dan pemimpin-pemimpinnya berserta dengan rakyat jelata sekalian adalah tidak seperti rakyat dan negara Amerika Syarikat.

6. Pada pandangan Pendekar Cahaya, sistem dan dasar-dasar politik pihak pemimpin pembantah seimbang dengan pihak pemimpin pemerintah, pada tersurat, kelihatan berbeza tetapi yang tersirat adalah sama.

7. Pendekar Cahaya, dalam menyelami keadaan ini, mampu berasa lega kerana keadaan yang sedia ada masa kini tidaklah perlu diubah dengan drastik semata-mata untuk memenuhi tuntutan dan kepentingan segelintir pemimpin terutama atas nama kepentingan politik. Terkadang, tidak semestinya kita berubah kerana semata-mata desakan dan naluri "ketakutan" untuk rebah. Kita perlu berubah untuk memenuhi kehendak dan keperluan perubahan sesuai dengan keadaan semasa dan jangkaan keperluan akan datang.

Wednesday, September 2, 2009

PENDEKAR CAHAYA : LAIN ORANG, LAIN SELERA; LAIN PEMIMPIN LAIN CARANYA

1. Jari-jari di tangan duduk sebaris, namun panjang dan besarnya tidak rata dan tidak sama.

2. Begitu juga lumrahnya manusia, lain orang lain gaya dan caranya. Ada yang merasa bersyukor dengan apa yang mereka miliki dan ada pula yang sudah memiliki yang dicita-cita kan tetapi masih memerlukan kelebihan, kekadang biarpun terpaksa memintas, merebut milik dan hak orang lain.

3. Pemimpin juga sama. Mereka semua hendak menabur jasabakti dan memartabatkan bangsanya. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Kata orang, berjaya atau tidak pokoknya mereka mencuba.

4. Ada pemimpin yang terukir di dalam lipatan sejarah dan telah berjaya membangunkan bangsanya dari segi minda, spiritual, material, fisikal dan segala, namun dia tak terlepas dari kritikan dan cemuhan oleh mereka yang tak pernah buat apa-apa untuk kebaikan diri dan keluarga, apa tak lagi bangsa, agama, negeri dan negaranya.

5. Ada pula pemimpin yang suka melakukan experiment dengan mengubah semua benda, dan perkara yang tersusun rapi pun diporakperandanya.

6. Ada pula yang lebih merbahaya kepada negara dan masyarakatnya, yakni pemimpin-pemimpin yang buta sejarah penubuhan negaranya atau tahu tetapi sengaja menolak kenyataan dan faktanya. Golongan ini asyik memesongkan fakta demi meladeni selera politik dan kemahuannya. Kontrak sosial dikatanya tidak termasuk dalam sejarah negara. Sebab itu. negeri-negeri yang tidak sama status dan darjat sebelum merdeka di anggapnya samarata. Negeri kecil ‘dibesarkan’ dan negeri besar pula ‘dikecilkan’.

7. Seperkara yang melucukan ialah gelagat mereka yang asyik memerhatikan dan meniru -niru cara pimpinan-pemimpin sepenuh masa. Mereka ini mempamirkan gaya dan memperagakan perwatakan seolah-olah mereka tahu serba serbi dan segala-galanya di dalam dunia, walhal memasang tali leher pun tak pandai menyesuaikannya dengan warna bajunya.

8. Pada Pendekar Cahaya, itu semua pengajaran baginya. Dia pandai mengkritik dan sanggup dikritik; dia pandai menyuruh orang berubah dan sanggup pula berubah; dia tidak pandai dan tidak tahu segala-gala, maka itu dia sentiasa menambah ilmu di dada dan terus berguru walau dari seorang yang lebih muda daripadanya.

9. Ada pula pemimpin yang ‘action’ atau tunjuk gaya, dan tak mahu duduk menjamu selera di warong, gerai dan restaurant biasa sebab kononnya dia tak selesa. Dia cuma berselera makan di tempat-tempat trendy, glamour dan exclusive sahaja. Sebaliknya ada pula pemimpin yang terpahat di hatinya kesederhanaan, 'simple’ yang boleh duduk dan menjamu selera di mana-mana, sebab mengerti dengan maksud peribahasa, ‘ular menyusur akar tak akan hilang bisanya’.

10. Dalam pada itu, Pendekar Cahaya tahu benar menghayati dirinya yang serba kekurangan. Namun dia berpegang teguh kepada prinsipnya. Dia menghayati mesej dan pengajaran di sebalik sebuah cerita arab pada zaman purba, iaitu Dzulkarnain dan anaknya yang menunggang keldai dalam perjalanan melewati desa-desa dan perkampungan, yang ceritanya lebih kurang seperti berikut:-

“Dzulkarnanin dan anaknya adalah peniaga. Mereka menjajah barangan ke kampung-kampung dengan menunggang seekor keldai. Barang-barang diikat di belakang keldai peliharaan mereka. Di dalam perjalanan, mereka bergilir-gilir untuk menunggang keldai kerana kepenatan.
Pada setiap tempat yang mereka lalui ada sahaja komen orang-orang kampung yang berbeza-beza seperti teguran, ‘Hai budohnya orang tua ini, menunggang keldai sementara anaknya dibiarkan berjalan kaki di belakang’.

Apabila Dzulkarnain mendengar teguran ini, dia berjalan kaki pula dan menyuruh anaknya menunggang keldai dan dia berjalan di hadapan memegang tali dan mengheret keldai.

Apabila mereka melewati sebuah lagi kampung, mereka berdua terdengar pula teguran dari orang kampung tersebut, "Hai budohnya anak muda ini membiarkan orang tuanya berjalan kaki dan mengheret keldai . Sepatutnya dia yang berjalan kaki".

Apabila anak Dzulkarnain mendengar teguran ini, dia menjemput bapanya menunggang keldai bersama-sama.

Dan apabila orang-orang di sebuah kampung yang mereka lewati nampak dua orang manusia menunggang seekor keldai yang sarat dengan barang-barang jualan, mereka menegur pula, “Kejamnya kamu berdua. Tidak kah kamu kesihan kepada seekor binatang yang sekecil itu yang sudahpun dibebankan dengan barang jualan yang berat, kamu bebankan pula lagi dengan berat badan kamu.’

Dzulkarnain dan anaknya berasa malu dan kasihan kepada keldai kesayangan mereka itu. Lalu Dzulkarnain dan anaknya meneruskan perjalanan dengan memikul keldai itu dan barang-barangnya sekali di atas bahu mereka, bergilir-gilir.

Cerita selanjutnya saya biarkan untuk kita fikirkan bersama demi mencapai lakaran cerita yang lebih indah.

11. Pendekar Cahaya tahu, sesungguhnya benarlah kata-kata hikmat seorang ahli politk kulit putih, "aspirasi dan kehendak setiap individu pada sesuatu masa sukar untuk dipenuhi" atau dalam bahasa ekonominya "kemahuan manusia tidak terbatas sedang sumbernya amat terhad"

12. Pendekar Cahaya melakukan sesuatu dan membuat keputusan mengikut caranya tersendiri. Yang penting, kata orang, dia telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab untuk memertabatkan bangsa dan rumpunnya dan bukan untuk kepentingan orang-orang yang mengelilinginya sahaja.

Tuesday, September 1, 2009

PENDEKAR CAHAYA : BANGGA DENGAN LOGHATNYA

1. Sebagai orang lama, Pendekar Cahaya banyak menimba ilmu pengetahuan yang dari pergaulan. Pendekar Cahaya "jauh berjalan, luas pandangan".

Dia telah terdedah kepada petua dan ajaran orang tua-tua sejak kecil lagi.

Pendekar Cahaya masih ingat, tanpa kompas (alat penunjuk arah) nelayan dahulu mengenalpasti tempat yang hendak dituju dengan hanya berpetunjukkan bintang-bintang di langit. Tanpa GPS (alat penunjuk lubuk ikan di dasar lautan) nelayan dahulu tahu tempat lubuk. Tanpa alat pengkaji cuaca, nelayan dahulu tahu bila lautan akan bergelora dan begitulah seterus.

2. Kini, sebagai Pengerusi Sidang Suara Negara, Pendekar Cahaya dapat mendengar banyak idea dari hujah-hujah pihak berkuasa dan pihak pembantah.

Pendekar Cahaya sungguh bertuah kerana dapat menimba ilmu pengetahuan dari hujah-hujah Ahli-Ahli Sidang Suara Negara.

3. Ada hujah yang cukup ilmiah dan membangun minda. Tidak kurang juga hujah yang memesong perkara dan isinya kosong.

4. Terkadang ada hujah yang cukup sensasi dan disampaikan dengan gaya tersendiri sehingga pihak sebelah naik berang. Terkadang ada pula hujah yang sinis dan disampaikan dengan suara lunak dan senyuman manis, walau pun hujah itu menggigit tetapi telinga pihak sasaran tidak merasa sakit.

5. Dalam pada itu, ada hujah yang biasa sahaja tetapi diluah dengan suara marah, mencabar pihak sebelah. Hujah sebegini yang menggamit perhatian dan menimbulkan kemarahan dari teman-teman yang berbeza pandangan.

6. Bahasa yang digunakan pula semamangnya sama, Bahasa Kebangsaan Negara, tetapi dengan loghat yang berbeza, menurut loghat daerah atau tempat asal ahli-ahli yang berhujah.

7. Tempat asal Pendekar Cahaya ialah dari sebelah Pantai Timor Negara, maka loghatnya sewaktu berhujah memberi petua kepada Ahli-Ahli Dewan Suara Negara amat ketara, dan terkadang telinga yang mendengarnya tercuit hati terketawa, tetapi Pendekar Cahaya selamba sahaja, kerana di dalam hatinya berkata, ‘Ku peduli apa. Kalau Ahli-Ahli Dewan Suara dari lain daerah berhujah dengan bangga menggunakan loghatnya, kenapa pula saya terikut-ikut berhujah mencontohi cara dan loghat mereka. Saya juga bangga dengan cara dan loghat saya.’

8. Terkadang ada hujah ahli Dewan Suara yang amat bermakna, boleh disifatlan sebagai hasutan, tetapi ahli yang berkenaan tidak perduli akan risikonya terhadap keselamatan. Dia terlupa, pada zaman twitter, Facebook, sms, mms, Email dan blog ini, apa sahaja yang di lafaz oleh lidah, di dalam beberapa minit sahaja akan tersebar luas ke merata-rata.

9. Dewan Suara Negara adalah sidang untuk membincang masalah rakyat jelata. Hujah-hujah diluahkan oleh ahli-ahlinya sememangnya berbeza-beza. Terkadang, ada ahli yang emosional dan tak dapat mengawal perasaan, sehingga mengundang reaksi yang setimpal dari kawan dan lawan.

10. Pendekar Cahaya terkadang sakit dada melayan karenah ahli-ahli Dewan Suara. Di masa-masa tertentu seperti semasa terdapat ahli yang mencetuskan kekecohan, Pendekar Cahaya terpaksa mengawal keadaan dengan menggunakan kuasa di tangan tanpa sebarang kekhuatiran dan keraguan.

11. Namun Pendekar Cahaya bershukor, setakat ini keadaan Dewan Suara Negara dapat dikawal olehnya dengan penuh tanggungjawab dan berhemah. Dia adil dan tidak berat sebelah untuk memberikan peluang bersuara kepada ahli-ahli dari pihak berkuasa dan pihak pembantah.

MENCARI SINAR

BatuGadung,

Saya ucap terima kasih atas kesudian anaknda mendidikasikan kepada saya sebuah sajak yang cukup bermakna, tetapi tidak setimpal dengan jasa atau pengorbanan saya kepada bangsa.

Saya tak pandai bersajak anaknda, tetapi biar saya cuba:

“MENCARI SINAR”

Di keheningan subuh,
di pondok usang, di desa sepi,
tiba bayi diriba ibu bapa papa,
didodoi dengan ‘ida-ida'
sejarah bangsa,
pesakanya .

Berbekal ‘ida-ida’ sejarah,
Berteman doa restu bangsa,
Meraba-raba entah kemana,
Kesaorangan, ketakutan, kelaparan,

Berkat doa,
Cahaya samar menyinar,
Menyinsing sedikit harapan,
Maju setapak, demi setapak kehadapan.
Perjalanan masih jauh,

Beratus purnama lamanya,
Berat kaki melangka,
Ah!....biarlah,
Betis bertenaga,
Menyusuri jalan mencari sinar,
Menerangi alam bangsa.

Wahai!, betis muda,
Melangkah lah kehadapan,
Jangan berebutan.
Sinar masih samar-samar kelihatan.

Nukilan,
Pa’Min
Dalam Pesawat AirAsia menuju ke Bandar Udara, Sukarno-Hatta,
Kota Jogjakarta.
Tanggal 1.9.2009
Jam 11 malam.